R. Surendran, 29, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hadir ke mahkamah memakai baju T berwarna putih dan seluar pendek selain dilihat hanya mendiamkan diri serta tunduk sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, Surendran bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh juruteknik, V. Sivanesan, 31, di Dataran Mestika, Jalan Mawar 17, Taman Mestika, Hulu Langat, dekat sini antara pukul 3.30 dan 4.30 pagi, 5 November lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik mangsa.- UTUSAN ONLINE