Mohd. Asrul Hisyam Setapa, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ke­semua 16 pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Adli Abd. Ghalib.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Asrul Hisyam sebagai ejen kepada TNB didakwa memperoleh suapan wang tunai, telefon bimbit, jam tangan dan pembelian peralatan pembinaan bernilai RM40,468 daripada dua kontraktor bagi kerja-kerja melibatkan syarikat milik kerajaan tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan berkenaan antara April dan Ogos 2016 di beberapa lokasi di daerah ini.

Pertuduhan terhadapnya di­ke­mukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.


Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan Mohd. Asrul Hisyam diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan selain menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh dibebaskan selepas membayar wang jaminan tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, Pengurus TNB cawangan yang sama, Arman Che Othman, 47, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan rasuah berjumlah RM125,200, tiga tahun lalu.

Namun kedua-dua kes itu tidak mempunyai sebarang kaitan.