A. Mohanraj, 41, dan S. Satthiya, 26, memakai baju T diiringi polis ke Mahkamah Selayang kira-kira pukul 9 pagi tadi, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Mohanraj dan Satthiya didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di sebuah premis Queen Self Service Laundry, Taman Gombak Ria, Batu Caves dekat sini antara pukul 12.54 tengah malam dan pukul 1 pagi, 11 September lalu.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin dan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd. Isa mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 29(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin masing-masing RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Pada Selasa minggu lalu, kedua-dua tertuduh dan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas diburu selepas mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di dobi layan diri berkenaan.

Bangkai kucing tersebut ditemui seorang pelanggan pada jam 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering itu sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Tindakan mereka yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan menjadi tular di media sosial mendapat kecaman masyarakat yang berharap agar hukuman berat dikenakan kepada pelaku.

Kedua-dua lelaki itu telah ditahan reman seminggu sejak 14 September lalu selama empat hari sebelum tahanan reman terhadap mereka dilanjutkan tiga hari lagi dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE

Video oleh NUR IZZATI IZZAH NADZI