Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang merupakan seorang duda menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 3 Oktober lalu.

Pada 9 Oktober lalu, Muhammad Irwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan kanak-kanak itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11 &11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya. 

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian semasa pengadu yang merupakan kakak kepada tertuduh sedang mencuci baju di kedai dobi itu, mangsa yang berusia tiga tahun telah dimasukkan ke dalam mesin basuh yang kemudiannya terkunci secara automatik. Pengadu yang panik telah meminta pertolongan daripada orang ramai dan mangsa berjaya dikeluarkan. 

Ekoran kejadian itu pengadu telah membuat satu laporan polis yang kemudian tertuduh berjaya ditangkap pada pukul 2.50 pagi keesokannya.-UTUSAN ONLINE