Hakim Kamalruazmi Ismail mengarahkan hukuman terhadap wanita berusia 45 tahun itu dilaksanakan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan daripada tertuduh.

Beliau turut mengarahkan tertuduh ditahan bagi menjalani hukuman tambahan iaitu pemulihan selama 
enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor, bermula hari ini yang  dibuat mengikut Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. 

Tertuduh yang berbaju merah dan bertudung merah jambu kelihatan tenang ketika mendengar keputusan yang diumumkan kira-kira pukul 11.36 pagi itu selepas mahkamah ditangguhkan kira-kira 30 minit. 

Ketika membacakan penghakiman, Kamalruazmi  menyatakan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat berdasarkan hukum syarak di samping mencemarkan kemuliaan negeri yang diberi gelaran Darul Iman.

Katanya,  seseorang yang telah menginjak ke usia 40 tahun tidak sepatutnya terlibat dalam kesalahan pelacuran sedemikian dan sewajarnya telah matang untuk membezakan antara yang halal dan haram mahu pun perkara-perkara berkaitan dosa atau pahala. 

Justeru, katanya, cadangan hukuman tahanan pemulihan buat tertuduh yang berasal dari Johor dan menetap di Klang, Selangor itu dipertimbangkan selepas mahkamah melihat keinsafan wanita tersebut atas kesalahan kali pertama yang dilakukannya di samping kesediaannya supaya dihantar ke sana.

Terdahulu, hakim syarie itu berkata, sudah tiba masanya diwujudkan satu pusat khusus untuk pesalah Mahkamah Syariah dan bukan ditempatkan di penjara biasa kerana keadaan kesalahan itu berbeza dengan pesalah sivil keranah gelaran banduan turut memberi kesan sepanjang hayat kepada mana-mana tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd. Khasmizan Abdullah mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, manakala tertuduh diwakili peguambela, Fazru Anuar Yusof.

Tertuduh yang pernah berkahwin sebanyak dua kali ditahan bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya kira-kira pukul 11 malam pada 19 September lalu dalam serbuan di sebuah resort ternama di sini.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku menerima upah khidmat seks dengan mengenakan bayaran RM1,000 untuk satu malam daripada pelanggan terbabit sebelum lapan barang kes dirampas dan disita termasuk beberapa botol minyak dan gel pelincir serta kondom yang masih tidak digunakan.-UTUSAN ONLINE