Mohd. Isa, 70, membuat permohonan itu menerusi peguam belanya, Ridha Abdah Subri dengan alasan mahu mengerjakan umrah pada 10 hingga 21 Februari depan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Azura bagaimanapun berkata, permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya satu bulan setengah lebih awal dan tindakan Mohd. Isa mengemukakan permohonan itu pada saat akhir akan mengganggu kelancaran prosiding untuk kes-kes lain.

“Saya bukan halang untuk mohon pasport apatah lagi untuk tujuan beribadah tapi kena rancanglah... tak adil untuk anda bersetuju dengan sesuatu tarikh tapi ia tak memudahkan mahkamah, kamu failkan di saat akhir sedangkan (umrah) boleh dirancang... Anda patut nasihatkan anak guam,” katanya.

Terdahulu Ridha Abdah memaklumkan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan semula pasport itu secara atas talian semalam, namun berlaku masalah dalam sistem sehingga pihaknya terpaksa membuat permohonan tersebut pada hari ini.

Hakim kemudian menetapkan 31 Januari ini untuk pendengaran bagi permohonan berhubung pasport itu dan 26 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen berhubung pertuduhan yang dihadapi Mohd. Isa.

Pada 14 Disember tahun lalu, Mohd. Isa mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn. Bhd.

Dia didak melakukan perbuatan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015. - UTUSAN ONLINE