Penderitaan yang dihadapi oleh Yaya terbalas, apabila ibu tirinya dikenakan hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan menganiaya kanak-kanak itu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau turut memerintah bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.

Bagaimanapun, mahkamah mem­­­benarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Rahayu dengan syarat jaminan terhadapnya dinaikkan kepada RM30,000 selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Selain itu, Rahayu juga wajib melaporkan diri di Balai Polis Rantau Panjang sebulan sekali.

Mengikut pertuduhan pertama, peniaga kosmetik tersebut didakwa telah menyebabkan kecedeaan parah kepada Nur Zuliana yang ketika kejadian berusia lima tahun di sebuah rumah di Lot 2071, Kampung Bagus Rantau Panjang antara Januari hingga Mei 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menganiaya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat serta masa yang sama.

Ibu kepada seorang anak yang berusia tiga tahun itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali dan Sek­syen 325 Seksyen Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani yang mencadangkan agar hukuman berat dikenakan terhadap pasangan suami isteri itu supaya memberi pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga lain agar tidak melakukan perbuatan sedemikian.

Selain itu, katanya, mahkamah perlu mengambil kira trauma yang dialami mangsa akibat daripada kejadian tersebut.

Dalam pada itu, peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh, Datuk Shukri Mohamed merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda sahaja atas alasan hukuman penjara adalah tidak sesuai meskipun kes ini telah mendapat liputan meluas media massa.

Kejadian dera membabitkan Yaya terbongkar selepas ibu kan­dungnya yang mengambil alih hak penjagaan mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi parut dan kesan lebam, selain keadaan fizikalnya yang lemah.