Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Rahayu didakwa telah menyebabkan kecedeaan parah kepada Nur Zuliana yang ketika kejadian berusia lima tahun di sebuah rumah di Lot 2071, Kampung Bagus Rantau Panjang antara Januari hingga Mei 2015.

Bagi pertuduhan kedua, peniaga kosmetik itu didakwa telah menganiaya hingga menyebabkan  mangsa mengalami kecedeaan fizikal dan emosi pada tempat serta masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Bagi pertuduhan pertama, wanita terbabit dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000, sekiranya gagal membayar akan dikenakan hukuman penjara selama lima bulan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan hukuman penjara selama empat tahun berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penanguhan pelaksanaan hukuman penjara dengan syarat iaitu jumlah jaminan dinaikkan kepada RM30,000 selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu , tertuduh wajib melaporkan diri di Balai Polis Rantau Panjang sebulan sekali.

Sementara itu, bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000 selepas  didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.

Kisah duka Yaya yang menjadi mangsa dera ibu tiri dan bapa kandungnya sehingga patah 13 tulang di seluruh badan, pernah menggemparkan negara dan mengundang rasa simpati semua pihak.

Kejadian dera membabitkan Yaya terbongkar selepas ibu kan­dungnya yang mengambil alih hak penjagaan mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi parut dan kesan lebam, selain keadaan fizikalnya yang lemah.- UTUSAN ONLINE