Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, wanita itu yang berpakaian reman SPRM dan bertudung berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pukul 9.08 pagi dengan tangannya bergari.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memberitahu pemberita, pihaknya membantah tindakan SPRM yang menggunakan Seksyen 28A (8) Kanun Prosedur Jenayah dan tidak membenarkan anak guam berunding dengan beliau sepanjang tempoh tahanan reman.

Menurut Shaharudin, Hasanah wajar dibenarkan bertemu de­ngannya sebagai peguam ketika ditahan reman seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan memfailkan bantahan berhubung perkara ini di Mahkamah Tinggi esok memandangkan terdapat peruntukan undang-undang memberikan seseorang yang ditangkap untuk berunding dengan peguam,” katanya.

Hasanah yang berusia 61 tahun itu ditahan pada pukul 4.45 petang semalam selepas hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Wanita itu ditahan SPRM kerana disyaki turut terlibat bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) termasuk bekas timbalan ke­tua pengarah bergelar Datuk kerana didakwa menyalahgunakan wang tersebut yang di­simpan di Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan peribadi.

Semalam Mahkamah Majistret di sini juga mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu ini terhadap tujuh pegawai PTD berkenaan membabitkan kes sama.

Sumber memberitahu, kese­mua wang itu yang sepatutnya dibawa ke tempat lain selepas keputusan PRU-14 diumumkan, hilang dipercayai telah diambil.