Majistret Nor Ariffin Hisham membuat teguran sedemikian terhadap Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, selepas pelakon filem Lagenda Budak Setan  itu telah membuat kenyataan baru-baru ini.

“Mahkamah ingin memberi peringatan kepada tertuduh ekoran kes telah dituduh di mahkamah, diharapkan tertuduh tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kes yang telah dituduh. Mahkamah mengambil kira tertuduh ada mengeluarkan kenyataan sebelum ini.

“Apa-apa perkara yang dibangkitkan perlu dikemukakan kepada mahkamah dan boleh digunakan di peringkat perbicaraan nanti,” katanya yang menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan pengurusan kes.

Peguam, Faizul Mohd. Nasir yang mewakili pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu berkata, pihaknya memohon maaf dan berterima kasih atas teguran tersebut.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan  kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan  berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan-perkataan-perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, tarikh sama.

Pada 28 Februari lalu, Farid Kamil telah mengadakan sidang akhbar di Setia Alam, Shah Alam. - UTUSAN ONLINE