Video oleh ZETI FARHANA ALPIKRI

FARID KAMIL
FARID KAMIL

Mengikut pertu­duhan, Fa­rid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, didakwa telah mereka kete­rangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan mema­sukkan kete­rangan tidak benar walhal laporan tersebut boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan tersebut.

Pelakon filem J Revolusi dan Lagenda Budak Setan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dekat sini kira-kira pukul 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Farid Kamil didakwa me­ngikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Suami kepada pelakon jeli­ta, Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee yang mengendalikan pendakwa­an menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang pen­jamin namun peguam, Faizul Mohd. Nasir yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang minimum dengan alasan anak guamnya perlu menyara anak dan isterinya termasuk ibu bapa yang sakit.

“Anak guam saya juga mempunyai komitmen melibatkan syarikatnya di sam­ping tawaran berlakon, pengiklanan serta pengarahan telah jatuh merudum selepas menghadapi beberapa pertuduhan di mahkamah sebe­lum ini,” kata Faizul.

Majistret Sala­miah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Farid Kamil telah mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar meletakkan dadah dalam minumannya iaitu pe­ngurus artis dan penyanyi yang memperkenalkan diri sebagai Taj dan Osh.

Pada 16 Januari lalu, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara pada 11 Januari.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa di mahkamah sama atas tuduhan melibatkan penggunaan dadah jenis THC iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’, yang juga dadah terdapat pada ganja.