Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tetapi hanya duduk menunggu di dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam sehingga diiringi masuk oleh adiknya, Fadzil Bahari dan beberapa rakannya memasuki bangunan mahkamah kira-kira pukul 10.15 pagi. Iste­rinya, Datin Diana Danielle tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pelakon itu didakwa telah menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9- etrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Pada 16 Januari lalu, pengarah filem V3: Samseng Jalanan itu mohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas empat pertuduhan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan ke atas dua individu, berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dan mengganggu tugas penjawat awam.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.