Peguam S. Sitpah yang dilantik oleh Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mewakili kerajaan Malaysia dan Kumpulan 1MDB selaku pihak pemohon memberitahu pemberita, ekoran daripada keputusan itu, Equanimity kini boleh dijual tanpa kekangan undang-undang.

Sitpah berkata, keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris di kamar hakim selepas membenarkan perintah penghakiman ingkar yang dimohon Kumpulan 1MDB dan kerajaan untuk mendapatkan perintah penghakiman ingkar kehadiran terhadap pemilik berdaftar Equanimity.

Permohonan itu dikemukakan untuk membolehkan Kumpulan 1MDB dan kerajaan menjual aset tersebut setelah pemilik berdaftarnya gagal memasukkan memorandum kehadiran serta memfailkan pembelaan dalam tempoh 14 hari.

Pada 17 Ogos lalu, kerajaan bersama Kumpulan 1MDB telah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa syarikat pelaburan itu adalah pemilik Equanimity yang sah sebelum menjual aset yang dikatakan milik Jho Low.

Equanimity sah milik kerajaan
S. SITPAH (tengah) bersama barisan peguam yang menuntut hak bagi kerajaan ke atas Equanimity di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini. - UTUSAN ONLINE

Dalam saman pemula itu, Kumpulan 1MDB bersama dua syarikat subsidiarinya, 1MDB Global Investment Limited dan 1MDB Energy Holdings Limited serta kerajaan selaku pihak plaintif menamakan pemilik kapal, Vesel Equanimity dari Kepulauan Cayman sebagai defendan tunggal.

Pihak plaintif menuntut lima perintah antaranya perisytiharan bahawa Kumpulan 1MDB adalah pemilik sah atau benefisiari kapal tersebut dan/atau pemilik separa Equanimity berdasarkan pembahagian saham masing-masing di dalamnya.

Pihak plaintif selain itu menuntut suatu perintah untuk menjual Equanimity serta perintah pengagihan hasil jualan harta tersebut kepada Kumpulan 1MDB berdasarkan setakat mana hak milik mereka dalam kapal berkenaan, kos dan perintah lain yang sesuai. - UTUSAN ONLINE