Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut selepas Mohd. Nazreen Mohd. Nasir, 28, mengaku bersalah terha­dap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa kepadanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di unit pentadbiran pembiayaan melakukan pecah amanah dengan menggadaikan barang kemas simpanan mangsa dengan nilai gadaian kira-kira RM2.06 juta di cawa­ngan sebuah institusi kewangan di Menara Ansar, Jalan Trus di sini antara 28 Mac dan 6 September lalu.

Mengikut fakta kes, dia yang baru bekerja lima bulan di institusi kewangan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan menjual barang kemas simpanan pelanggan di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru dan Melaka sepanjang tempoh tujuh bulan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Mohd. Nazrin yang tidak diwakili peguam terdahulu merayu kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan kerana ini merupakan kesalahan pertamanya dan perlu menanggung seorang isteri serta anak yang masih kecil selain turut menyara ibu dan bapa mentua.

Muhammad Syafiq bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat kerana melibatkan jumlah kerugian besar kepada banyak pihak.