Majistret Sandy Yvette Freddy membenarkan ketiga-tiga lelaki itu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Mereka sebelum ini direman enam hari bermula 15 Februari lalu bagi membantu siasatan di bawah kesalahan menerima atau meminta suapan mengikut Seksyen 16(a) SPRM 2009.

Terdahulu mereka dipercayai terlibat mengatur perlawanan di antara Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Februari lalu.

Pada 14 Februari lalu, SPRM menahan dua pemain FAS,  seorang lelaki lain dipercayai bookie.

Prosiding dibuat Pegawai Penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala ketiga-tiga suspek diwakili peguam, Ahmad Dzulfadli Abang Hamdan, Saifunnizam Sam dan Irawan Sudarsono.

Menurut Irawan, anak guam mereka ada berniat untuk mengambil tindakan sivil bagaimanapun perbincangan akan dibuat selepas ini.

Katanya, tindakan lanjut akan dibuat bagi membersihkan nama mereka dan sidang akhbar oleh anak guam dan keluarga akan dibuat esok. - UTUSAN ONLINE