Video oleh IRWAN MAJID

Tay Leong Hee, 52, dan Tay Tian Chuan,45, dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 2, Hotel Promenade, No.4, Lorong Api-Api 3, Api-Api Centre di sini kira-kira pukul 8.44 malam, 23 November lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 373 (2) akta tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Leong Hee diwakili peguam Datuk Chau Chin Tang manakala Adrian Cham Chee Kong mewakili Tian Chuan.

Hakim Noor Hafizah Mohd. Salim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat jaminan mereka dipe­rintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri sebulan sekali di Jabatan Imigresen selain me­netapkan 10 Januari depan untuk pengurusan kes.

Pada 23 November lalu, menerusi Op Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Sabah telah menemukan wang tunai seba­nyak RM14.5 juta di dalam pusat urut di Hotel Promenade dan di sebuah apartmen berdekatan.

Dalam operasi itu, empat individu termasuk kedua-dua tertuduh yang dipercayai dalang sindiket pelacuran berkenaan ditahan bersama 17 wanita warganegara Filipina yang terlibat dalam aktiviti persundalan di pusat urut tersebut.