Rosdan Ismail, 38, yang diwakili peguam N. P. Ramachandran bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid.


Mengikut kedu-dua pertuduhan, Rosdan didakwa sebagai penolong penyelia stor Bulk Fuel Installation (BFI) yang telah diamanahkan ke atas aktiviti penyaluran diesel dari kargo Kapal MT Nautica Johor Bahru ke tangki minyak BFI 2 telah melakukan pecah amanah jenayah.


Rosdan didakwa dengan sengaja membenarkan Dudhy Ardhyanto, 38, menyimpan 400,000 liter diesel bernilai RM702,000 dalam tangki Kapal MT Nautica Johor Bahru tanpa disalurkan ke tangki minyak BFI 2.


Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Depot Bantuan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut masing-masing pada pukul 10.30 malam, 22 September lalu dan pukul 7.30 pagi, 3 Disember lalu.


Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan.


Sementara itu, di mahkamah sama, Dudhy yang merupakan warga Indonesia mengaku bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Rosdan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.


Hakim Norashima menetapkan 11 April ini ini sebagai tarikh mendapatkan jurubahasa dan jatuh hukum terhadap Dudhy manakala Rosdan pula dibenarkan ikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan. - UTUSAN
ONLINE