Majistret Noorhidayah Mohd. Saad memerintahkan demikian selepas Mohd. Zaidi Di, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian di Kilometer 255.3 PLUS arah utara dekat sini pada pukul 11.47 pagi, 6 Oktober lalu.


Video Oleh SYEFRY MONIZ

Beliau juga mengarahkan lesen memandu Mohd. Zaidi ditarik balik serta digantung bermula hari ini sehingga prosiding terhadap kes berkenaan selesai, selain menetapkan sebutan kes pada 9 November ini.

Perintah itu dibuat setelah Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar memohon kepada mahkamah supaya tiada sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh yang mempunyai 31 rekod saman trafik lampau sejak 1999.

“Berdasarkan rekod saman trafik dalam tempoh 19 tahun itu, ia menunjukkan tertuduh tidak pernah serik melakukan kesalahan lalu lintas” katanya.

“Untuk makluman mahkamah juga, kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti treler, lori dan bas juga kerap berlaku dan ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pemandu kenderaan berat lain,” katanya.

Mohd. Zaidi dalam rayuan supaya dibenarkan bebas dengan jaminan pula menyatakan dia penanggung tunggal kepada seorang isteri yang tidak bekerja, empat anak serta kedua-dua ibu bapa yang telah uzur.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Zaidi didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berdaya mengawal kenderaannya dan menyebabkan kematian lima individu iaitu Teo Wee Tatt, 46, Shaw Swee Me, 42, Lee Len Ying, 60, dan Yew Poi Shy, 37, serta anak lelakinya yang berusia satu tahun, Yew Yi Chen.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 44(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukum penjara minimum tiga tahun dan maksimum sehingga 10 tahun serta denda sehingga RM20,000.

Menurut laporan akhbar, kelima-lima mangsa ditemukan rentung setelah kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan treler yang membawa muatan bijih besi di lebuh raya tersebut arah utara selepas Terowong Menora di sini, Sabtu lalu.