YAP YEE HOO
YAP YEE HOO

Datuk Yap Yee Hoo, 62, didakwa atas dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen di Mah­kamah Sesyen dan dua pertu­duhan menya­lah­guna­kan harta milik pelabur di dua Mah­kamah Majistret.

Yee Hoo yang memakai baju T berkolar putih dan berseluar coklat kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh dan menjawab ringkas: “Faham.. tidak mengaku salah.”

Di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah, warga emas itu didakwa mene­rima deposit daripada seorang peguam, Tan Cheng Tat, 51, berjumlah RM446,700 dan ahli perniagaan, Mastura Abdul Muthalib, 53, berjumlah RM70,000 tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di tingkat 1-2, Wisma BU 8, No. 11, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, di sini antara Julai dan November 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penja­ra maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, Yee Hoo didakwa curangnya me­nyalahgunakan harta milik Mas­tura iaitu jongkong emas yang ber­nilai RM220,000 untuk tujuan pelaburan di Syarikat Royal Gold Sdn. Bhd., No. 111 & 112, Blok F, Phileo Damansara 1, No. 9 Jalan 16/11 off Jalan Damansara, di sini pada 15 April 2014.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, tertuduh didakwa sebagai pengarah syarikat Royal Gold telah dengan sengaja tidak jujur me­nyalahgunakan wang pelanggan syarikat berjumlah RM446,700 untuk kegunaan lain di Public Bank cawangan Taipan Subang Jaya, di sini antara Julai dan November 2014.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin yang me­ngendalikan pendakwaan men­cadangkan jaminan berjumlah RM220,000 dengan seorang pen­jamin bagi kesemua pertuduhan namun peguam, Datuk N. Siva­nanthan yang mewakili Yee Hoo memohon jaminan munasabah kerana anak guamnya sudah diisytiharkan bankrap.

“Tertuduh merupakan salah seorang pengarah di syarikat itu yang operasinya telah dihentikan sejak penghujung Disember 2015 namun hanya dia seorang yang telah dibawa ke mahkamah. Anak guam saya sebelum ini telah direman selama lima hari di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selama 21 hari,” kata peguam itu.

Kesemua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM75,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport di­serahkan ke mahkamah selain 26 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Yee Hoo dibebaskan setelah anak perempuannya membayar wang jaminan tersebut.