Video oleh AZMAN ASMAYATIM

Azman, 50, yang juga Pengurus Besar ZPP mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima untuk diri sendiri seutas jam tangan jenama Cerutti bernilai RM1,280 dengan tiada balasan daripada pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusni Ibrahim yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pusat Latihan Zakat (Pulaza) di daerah Barat Daya dekat sini Februari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya.

Hakim Norsalha Hamid membenarkan Azman yang diwakili peguam N. Rajivan dan Mohamed Reza Ibrahim diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 Ogos ini sebutan kes.

Rabu lalu, Azman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berupa tiga utas jam tangan bernilai antara RM700 hingga RM2,000 daripada tiga kontraktor antara 2010 dan 2015.

Di mahkamah tersebut, tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu pengurusan kes pada 21 Ogos ini.

Azman merupakan antara 11 individu yang ditahan SPRM pada 9 Mei lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat yang didakwa berlaku sejak tiga tahun lalu.