Abdul Aziz Aban
Abdul Aziz Aban

CEO berusia 50 tahun itu dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan yang membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.

Lebih mengejutkan, menurut Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban, CEO yang berkhid­mat di ZPP sejak 1995 itu turut dipercayai memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Jelas beliau, dalam serbuan pukul 7 pagi hari ini, pihaknya turut menahan 10 individu lain, masing-masing merupakan tiga pegawai ZPP berusia 35, 39, dan 40 tahun serta tujuh kontraktor berusia antara 41 dan 52 tahun.

“Suspek ditahan­ di pejabat ZPP Ban­dar Perda, Bukit Mer­tajam dekat sini kira-kira pukul 10.40 pagi, selain menyita sebuah iPhone 7 dan dua jam tangan berjenama yang dipercayai diperoleh daripada kontraktor berkenaan sejak 2014 hingga tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Video oleh AZMAN ASMAYATIM

Menurut beliau, SPRM telah menjalankan risikan bagi membongkar kegiatan tidak bermoral itu sejak Disember tahun lalu dan akan meneruskan siasa­tan lanjut melibatkan lebih ramai in­dividu berkepen­tingan.

“Suapan ini me­rupakan perkongsi­an keuntungan secara jenayah yang ma­na mereka sepakat melaksanakan pro­jek pembangu­nan ZPP yang me­ng­gunakan wang zakat tetapi mem­bahagikan keuntungan ber­ke­naan mengikut kepentingan peribadi,” jelasnya.

Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 3 petang sebelum Majistret Mohamad Amin Sahuk Hamid mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 15 Mei ini terhadap mereka.

Mengulas lanjut, kata Abdul Aziz, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan.

“Sehingga kini kita masih menjalankan siasatan terhadap jumlah suapan yang terlibat dan kemungkinan wujudnya individu lain dalam kes ini,” tegasnya.