Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret  Haslinda A. Raof bermula hari ini sehingga 19 November  setelah lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju T berwarna hitam itu kelihatan tenang ketika masuk ke mahkamah bagi permohonan reman  kira-kira pukul 11 pagi dan keluar dari mahkamah pada pukul 12 tengah hari.

Selepas empat hari menghilangkan diri, suspek akhirnya ditahan semalam di Hospital Kajang pada pukul 11 pagi semasa melawat isterinya berusia 20 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah inap desa di Hulu Langat.

Susulan daripada itu, pasangan suami isteri terbabit ditangkap manakala bayi mereka pula akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 9 November lalu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, maut dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya.

Laporan polis dibuat selepas mendapati terdapat beberapa kesan luka dan lebam di muka, perut, dada dan bahagian belakang mangsa.

Susulan itu, bapa tiri serta ibu kanak-kanak berkenaan kemudian melarikan diri dan diburu polis. - UTUSANONLINE