Tertuduh, Hairudin Ngadiron, 43, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan utama dan pilihan selepas kedua-duanya dibacakan di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang bertugas di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar, didakwa menerima suapan RM4,200 iaitu bayaran membaiki kenderaan di bengkel dekat Jalan Dato’ Haji Kosai, Parit Keroma, Muar pada 15 Mac 2017.

Suapan itu bagi dirinya sebagai upah membantu mendapatkan kerja di maktab berkenaan pada 2016, iaitu pembaikan bangunan dan pagar keselamatan di pondok pengawal maktab, kerja pembaikan lapang sasar semi ‘indoor’ 25 meter serta perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan kolam renang di kompleks sukan maktab terbabit.

Bagi pertuduhan pilihan yang ditawarkan, tertuduh pada hari dan di tempat sama, didakwa menerima suapan itu daripada individu yang sama dengan tiada balasan, yang mana dia tahu ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Khazrin Haffiz Khalil memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan berada dalam jaminan RM30,000. 

Khazrin Haffiz kemudian mencadangkan kes dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan dibicarakan dengan tujuh lagi pertuduhan dihadapi tertuduh di sana, selain mengguna pakai ikat jamin terdahulu.

Mahkamah bersetuju dengan cadangan itu dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan jaminan sedia ada. - UTUSAN ONLINE