Datuk Yap Yee Hoo, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa menerima deposit daripada seorang peguam, Tan Cheng Tat, 51, berjumlah RM446,700 dan seorang ahli perniagaan, Mastura Abdul Muthalib, 53, berjumlah RM70,000 tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di tingkat 1-2, Wisma BU 8, No. 11, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, di sini antara Julai dan November 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, Yee Hoo turut mengaku tidak bersalah dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Mastura iaitu jongkong emas yang bernilai RM220,000 untuk tujuan pelaburan di Syarikat Royal Gold Sdn. Bhd., No. 111 & 112, Blok F, Phileo Damansara 1, No. 9 Jalan 16/11 off Jalan Damansara, di sin padai 15 April 2014.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, tertuduh didakwa sebagai pengarah syarikat Royal Gold telah dengan sengaja tidak jujur menyalahgunakan wang pelanggan syarikat berjumlah RM446,700 untuk kegunaan lain di Public Bank cawangan Taipan Subang Jaya, di sini antara Julai dan November 2014.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Kesemua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM75,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan ke mahkamah selain 26 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan kira-kira 2000 mangsa dipercayai diperdaya sindiket pelaburan Royal Gold yang didalangi individu bergelar Datuk dan Datuk Seri sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM200 juta sepanjang tempoh Oktober 2015 hingga Disember tahun lalu.-UTUSAN ONLINE