Selain Zulhairin Yahya, 45, turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah bekas ketua unit pendakwaan jabatan berkenaan, Zaidi Dali, 49, yang didakwa atas pertuduhan serupa membabitkan RM17,000.

Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim S. Indera Nehru.

Mengikut pertuduhan, Zulhairin didakwa meminta suapan RM10,000 setiap bulan untuk dirinya dan Zaidi daripada Nga Chee Jiek, 41.

Wang itu didakwa se­bagai dorongan bagi memastikan tiada peme­riksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pre­mis perniagaan pusat hiburan The Bos KTV, No. 92-96, Tingkat 1, Persiaran PM 2/5 di Pusat Bandar Seri Manjung.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Club House Meru Valley Golf and Country Club di sini, pada pukul 9 ma­lam, 5 November 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Zulhairin didakwa menerima suapan RM4,000 untuk dirinya da­ripada Chee Jiek melalui Zaidi di Restoran Knock Knock Meru Raya pada pukul 12.05 tengah malam, 12 November 2015.

Sementara itu, Zaidi pula di­tuduh meminta suapan RM10,000 setiap bulan untuk dirinya dan Zulhairin daripada Chee Jiek atas alasan serupa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Lelaki itu turut didakwa me­ne­rima suapan RM7,000 daripada Chee Jiek untuk dirinya dan Zulhairin di tempat letak kereta Club House Meru Valley Golf and Country Club, pada pukul 9.55 malam, 11 November 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin sementara Zulhairin diwakili peguam, Ahmad Zaidi Zainal manakala Zaidi pula diwakili Zamri Idrus dan Fadly Hashim.

Indera Nehru membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 5 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Mahkamah juga memerintahkan pasport milik mereka diserahkan kepada mahkamah selain dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan.