Aminuddin, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima suatu benda berharga iaitu pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan rumah banglo tersebut di Lot PT2144059 Mukim Hulu Kinta, Ipoh dengan tiada balasan daripada Chua Kim Weng iaitu Pengarah Uni-poh Construction Works Sdn. Bhd., yang mana diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasmi dijalankan melibatkan kontrak cadangan kerja-kerja infrastruktur utama serta lain-lain kerja berkaitan di Bandar Meru Raya 2 (Zon 9) Mukim Hulu Kinta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Public Bank Berhad Cawangan Jalan Sultan Idris Shah di sini antara 17 Januari 2017 hingga 3 Julai 2017.

Pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela Najmi Dawami Abd Hamid meminta supaya jaminan terhadap anak guamnya itu dikurangkan kepada RM15,000 dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik, mempunyai tanggungan tujuh orang anak serta rekod perkhidmatan cemerlang selain tiada rekod jenayah lampau.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga terdekat sementara pasport diserahkan kepada SPRM selain menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE