Video oleh NUR ATHIRAH NABILAH MUSA

“Bayangkan kalau mesin basuh itu berpusing apa akan jadi pada kanak-kanak itu, peralatan di kedai dobi bukanlah untuk bergurau, tetapi untuk memba­suh dan mengeringkan pakaian.”

Demikian teguran seorang hakim di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap seorang jurujual yang menyebabkan anak saudaranya terpe­rangkap hampir 10 minit apabila ‘disumbat’ ke dalam mesin ba­suh dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang, bulan lalu.

Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya hari ini semasa sebutan kes di hadapan Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.

Azmil Muntapha turut menasihatkan tertuduh supaya tidak menjadikan dobi sebagai tempat untuk bergurau kerana ini adalah perbuatan salah dan juga memberi amaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan sama selain tidak menyalahgunakan peralatan kedai dobi.

“Kebelakangan ini banyak kes berlaku di kedai dobi dan mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kes yang dihadapi kamu ini te­lah menjadi tular dalam media sosial,” katanya yang meme­rintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 3 Oktober lalu.

Dalam pada itu, ketika disoal Azmil Muntapha sama ada tertuduh sudah memohon maaf terhadap kakaknya (ibu kepada mangsa), Muhammad Irwan yang berada di dalam kandang tertuduh hanya tunduk dan berkata dia sudah berbuat demikian.

Pada 9 Oktober lalu, duda itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan kese­lamatan kanak-kanak tersebut.

Kejadian didakwa berlaku di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11 &11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu dan lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, KhairulAzhwa Yusrie Mohamad, pada hari kejadian, ketika pengadu yang merupakan kakak kepada tertuduh sedang mencuci baju di kedai dobi itu, mangsa yang berusia tiga tahun dimasukkan ke dalam mesin basuh yang kemudian terkunci secara automatik.