Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman memutuskan perintah jagaan sementara selama sebulan berkuat kuasa hari ini.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu hadir ditemani bapa kandungnya, ibu tiri dan abang sulungnya.

Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zalina Yusof berkata, dalam tempoh sebulan itu pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh bagi mendapatkan hak penjagaan kekal mangsa dan adik beradiknya yang lain.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri serta lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota, di sini.

Perbuatan di luar batas kemanusiaan itu dilakukan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang dikatakan hanya kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Ekoran kejadian itu yang turut tular di media sosial, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang anggota tentera ditahan reman bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016. - UTUSAN ONLINE