MOHAMMAD ABDULLAH MOHAMED didakwa atas kesalahan membunuh Nur Aina Nabihah di Mahkamah Majistret Port Dickson, semalam. - UTUSAN/ABD RAZAK AID

Tertuduh yang merupakan bapa kandung mangsa, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan­ dibacakan di hada­pan Majistret Siti Khairiah Abdul Ra­zak.

Mohammad Abdullah didakwa me­la­kukan perbua­tan itu hingga menyebabkan kematian Nur Aina Nabihah di antara pukul 8.30 malam dan 11.30 malam di Taman Vista Jaya, Lukut dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya A. Ashwini mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan. Tertuduh tidak diwa­kili peguam.

Siti Khariah menetapkan 15 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah me­ninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tiri­nya, sebelum keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecede­raan pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk kiri dan kanan, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Mohammad Abdullah dan isteri sebelum ini direman sejak 2 Februari lalu, namun ibu tiri mangsa itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah yang akan dijadikan saksi pendakwaan.