Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pembelaan yang mewakili Abd. Latif, 51, dan pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku responden.

Dalam penghakimannya, Mohd. Sofian berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan terhadap keputusan Mahkamah Rendah yang menggunakan budi bicara dalam menentukan tempoh tahanan reman tersebut.

Sabtu lalu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Nur Sulehan Abd. Rahman membenarkan tempoh tahanan reman selama tujuh ke atas Abd. Latif, bermula Sabtu hingga esok berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Video oleh SHARKAWI LONDING

Penahanan reman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu dibuat SPRM bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Abd. Latif yang sedang bercuti daripada tugas rasminya sebagai Exco kerajaan negeri sejak 1 Mac lalu ditahan SPRM pada pukul 10.50 pagi Khamis minggu lalu selepas hadir di pejabat SPRM negeri memberi keterangan berhubung isu penyelewengan hartanah serta rasuah.

SPRM turut melakukan serbuan ke atas kediaman Abd. Latif di Johor Bahru sebelum merampas wang tunai RM14,000, 150 beg tangan pelbagai jenama mewah serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dipercayai dapat membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE