Video oleh NORLIZAH ABAS

Berikutan itu, Mahkamah Ra­yuan hari ini membatalkan rayuannya dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Amir Bahar, 54, bersama lapan yang lain meneruskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara sepanjang hayat kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong iaitu kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Anak saudara kepada lelaki yang mendakwa sebagai Sultan Sulu itu menarik balik rayuannya bersama 13 lagi individu terhadap hukuman penjara di antara 13 dan 18 tahun kerana menjadi anggota kumpulan pengganas, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 130KA kanun serupa.

Mereka terdiri daripada Abd. Hadi Mawan, 53; (rakyat tempatan), Julham Rashid, 70; Lin Mad Salleh, 51; Virgilio Nemar Patulada, 53; Salib Akhmad Emali, 64; Tani Lahad Dahi, 64; Basad H. Manuel, 42; Aiman Radie, 21; Holland Kalbi, 51; Ismail Yasin, 77; Atik Hussin Abu Bakar, 46; Al Wazir Osman, 62; dan Timhar Hadil, 40.

Pabblo Alie, 67; pula kekal dihukum penjara 15 tahun atas kesalahan mencari harta bagi manfaat kumpulan pengganas mengikut Seksyen 130G(c) sementara Mohammad Ali Ahmad, 42; juga kekal dipenjara 15 tahun kerana kesalahan di bawah Seksyen 130J(1)(a) iaitu mencari atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Sementara itu, wanita tunggal dalam kes tersebut, Norhaida Ibnahi, 50, (warga Filipina) tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 10 tahun kerana kesalahan melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.

Mereka disabitkan melakukan kesalahan itu di beberapa tempat berbeza di Kampung Bakau dan Kampung Peringi di Semporna, Kampung Madai di Kunat, Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dan Kampung Tanduo di Lahad Datu di antara 9 Februari 2013 dan 13 Mac 2013.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim turut mendengar rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan 12 anggota kumpulan pengganas berkaitan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Mereka ialah Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Rijmal Salleh, Abdul Majil Jubin, Rizman Gulan, Basil Samiul, Totoh Hismullah, Saidili Jaharul, Kadir Uyung, Lating Tiong dan Dani Ismail.