Abd. Latif, 51, dan Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Shariffuddin pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd. Latif bagi melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam, iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Larkin Perdana, di sini antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu.


Video oleh ISHAK RAHMAD

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Masri Mohd. Daud dan Amir Nasruddin.

Abd. Latif diwakili oleh barisan lapan peguam bela diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Amir Shariffuddin oleh Azrul Z. Stork.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2 juta seorang dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Hakim menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE