Hakim N. Kanageswari menja­tuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara empat bulan bagi setiap warganegara Nepal itu yang digaji oleh syarikat Kawal Hikmah Sdn. Bhd., sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang tekstil di Nilai pada 6 November 2013.

Syarikat itu didakwa di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja asing tanpa permit, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih dari 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap seorang warga asing yang diambil bekerja.

Syarikat tersebut yang diwakili Pengarahnya, Nohamizaah Sulaiman dijatuhi hukuman itu setelah didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Peguam Ahmad Zaidi yang mewakili syarikat tersebut terdahulu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan empat orang anak yang masih kecil dan sebagai pengarah syarikat, dia hanya dibayar elaun antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Rusli Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah meng­utamakan kepentingan awam kerana kesalahan mengambil pekerja asing tanpa permit yang sah menyebabkan berlakunya lambakan pendatang asing tanpa izin di negara ini dan telah mengancam kepentingan dan keselamatan awam.

“Hukuman berat juga perlu dikenakan ke atas tertuduh sebagai suatu isyarat dan pengajaran kepada orang lain agar tidak me­lakukan kesalahan yang sama,” katanya.

Norhamizaah membayar denda tersebut.