Keputusan itu dibuat Hakim Hashim Hamzah yang turut menetapkan 14 Januari ini sebagai pengurusan kes petisyen yang dikemukakan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi kerusi tersebut, Datuk Marzuki Yahya.

Marzuki yang juga Setiausaha Agung Bersatu mengemukakan petisyen mencabar keputusan PRU-14 itu selepas tewas tipis iaitu hanya dengan 81 undi kepada pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Shabudin Yahaya.

Bagaimanapun, Shabudin pada 14 Disember lalu mengumumkan keluar UMNO dan BN namun tidak mengosongkan kerusi berkenaan.

Sementara itu, menurut peguam yang mewakili Marzuki, Muhammad Rafique Rashid Ali, mahkamah memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa semua Borang 14 bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor untuk dipecah meterai dan diteliti oleh peguam kedua-dua pihak di depan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 2 Januari ini.

Menurut beliau, Borang 14 dari daerah mengundi di Tasek Gelugor itu akan diperiksa untuk menentukan jumlah undi yang tepat yang diterima setiap calon.

Katanya, setiap borang akan diperiksa semula berdasarkan rekod rasmi SPR serta salinan yang dipegang oleh BN dan Bersatu.

Tambah beliau, pemeriksaan semula itu juga dijangka dibuat dengan kehadiran pegawai dan peguam SPR yang akan bertindak menyelia proses berkenaan.

“Jika jumlah di dalam Borang 14 yang dimeterai dalam kotak berbeza dengan salinan yang diberikan kepada BN, maka ia akan menjadi janggal,” katanya kepada pemberita di sini.

Borang 14 SPR merupakan dokumen yang mengesahkan jumlah undian calon yang diperoleh dari setiap pusat mengundi.

Pada 28 November lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya untuk mencabar kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk pendengaran.

Keputusan majoriti 4-1 itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum selepas membenarkan ra­yuan Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar.

Selain Malanjum; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Rohana Yusof membenarkan rayuan itu manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop mencapai keputusan menentang.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa dakwaan yang dibangkitkan dalam petisyen itu berkaitan percanggahan di antara Borang 14 dengan jumlah undi yang dipaparkan di pusat penjumlahan undi, mempunyai merit untuk diputuskan. – UTUSAN ONLINE