Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa, UMNO akan sentiasa menghormati dan mempercayai keluhuran institusi awam di negara ini yang melakukan tugas dengan penuh wibawa tanpa prejudis.

“UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa menghormati dan mempercayai institusi awam. Jadi kita percaya bahawa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga mahkamah akan menjalankan tugas dengan cara profesional dan tanpa prejudis.

Pemimpin UMNO berikan sokongan
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut hadir memberikan sokongan kepada Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Itu sebabnya saya harap supaya ahli UMNO bertenang biar proses ini berjalan kerana kita mesti percaya kepada institusi awam,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Antara yang kelihatan hadir bagi memberikan sokongan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - UTUSAN ONLINE