Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili syarikat penerbitan akhbar itu berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh seminggu.

“UMMB akan memfailkan permohonan kebenaran merayu kerana peluang untuk syarikat tersebut menang adalah baik,’’ ujarnya kepada Utusan Malaysia lewat petang ini.

UMMB mengambil usaha terakhir itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim hari ini yang menolak rayuan serta memerintahkannya membayar ganti rugi tersebut dan kos berjumlah RM70,000 (termasuk kos RM50,000 di Mahkamah Tinggi).

Beliau yang bersidang bersama Datuk Dr. Badariah Sahamid dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebulat suara berpuas hati bahawa rayuan syarikat penerbitan akhbar itu tidak mempunyai merit.

Kuorum berkenaan turut menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 dan kos RM70,000 kerana didakwa memfitnah Manjeet.

Panel tersebut juga meme­rintahkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM70,000 kepada Manjeet atas dakwaan yang sama.

Kuorum itu secara sebulat­ suara membenarkan rayuan­ peguam berkenaan dan menggunakan kuasa rayuannya mengetepikan keputusan Mah­kamah Tinggi yang menolak tuntutan samannya.

Hakim Abang Iskandar ketika membacakan keputusan itu berkata, panel tersebut berpendapat, Manjeet selaku plaintif dalam tuntutan samannya berjaya membuktikan kes terhadap TV3 bahawa berita Buletin Utama yang disiarkan pada 16 Ogos 2011 mengandungi kata-kata fitnah.

Mahkamah turut menolak pembelaan yang dikemukakan oleh syarikat penyiaran tersebut dan berpuas hati rayuan Manjeet mempunyai merit.

Sehubungan itu, panel berkenaan memerintahkan ganti rugi am RM200,000 berserta faedah sebanyak lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman, dibayar oleh TV3 kepada peguam itu.

Manjeet memfailkan saman terhadap Gobalakrishnan, Raja Syahrir Abu Bakar (bekas wartawan Utusan Malaysia) dan UMMB serta TV3 bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta kerana memfitnahnya.

Muhammad Shafee dan Sarah Abishegam mewakili Raja Syahrir dan UMMB; Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Go­balakrishnan; Americk Singh Sidhu mewakili Manjeet dan T.H. Liew bagi pihak TV3.