Laskar Kanan Mohd. Izhrifikri Roslee, 29, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan itu selesai dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut tiga pertuduhan, Mohd. Izhrifikri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecede­raan terhadap Laskar Kelas 1 Mohd. Farhan Md. Said, 30, de­ngan memukul tapak kaki mang­sa antara pukul 8 malam, 12 September dan 12 tengah hari, 14 September lalu di padang kawat BTU TLDM Sungai Wangi, Sitiawan.

Tertuduh juga turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Laskar Kelas 1 Mohd. Syaiful Nizam Mardzuki, 30, dengan memukul tapak kaki mangsa antara pukul 10 pagi, 21 September dan 12 tengah hari, 23 September lalu di tempat sama.

Keenam-enam pertuduhan itu dikemukakan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Harris Ong Jeffry Ong mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mohd. Izhrifikri juga didakwa atas dua pertuduhan menakutkan secara jenayah kedua-dua mangsa dengan menyatakan mangsa akan dibelasah sehingga mati selain ahli keluarga mangsa diancam sekiranya memberi ke­nyataan yang benar kepada pihak polis.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara pukul 2 dan 3 petang, 29 September lalu di lorong hadapan sel nombor 7, dan sel nombor 4 di BTU TLDM Sungai Wangi, Sitiawan.

Bagi dua pertuduhan tersebut, Mohd. Izhrifikri didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.