INTAN LIANA SALEH selepas prosiding sebutan permohonan cerai dengan suaminya, Ude di Mahkamah Syariah Gombak Timur, Selangor. - GAMBAR ZAINI HUSIN/UTUSAN

Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, atau lebih dikenali sebagai Ude memfailkan permohonan penceraian secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menerusi peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain pada 30 November tahun lalu.

Dalam prosiding sebutan kali pertama kes itu di mahkamah hari ini, Mohd. Zaidi memohon tarikh sebutan baharu bagi kedua-dua pihak berbincang mengenai perjanjian penyelesaian berkaitan isu-isu tuntutan selepas perceraian termasuk nafkah.

Ude yang berasal dari Johor Bahru manakala Intan Liana, 33, dari Segamat,Johor kemudian bersetuju untuk diberikan masa dan ruang berbincang mengenai perkara tersebut.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes permohonan cerai berkenaan.

Terdahulu, Intan Liana yang berjubah dan bertudung hitam serta tidak diwakili peguam syarie tiba di mahkamah kira-kira pukul 2.10 petang dengan ditemani ahli keluarganya manakala Ude pula hadir 20 minit selepas itu.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohd. Zaidi memaklumkan antara alasan perceraian anak guamnya dengan Intan Liana adalah tiada lagi persefahaman antara mereka selain pasangan itu tidak lagi tinggal bersama sejak beberapa bulan lalu.

Ude yang memakai baju kemeja biru dan bercermin mata hitam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya mengunci mulut apabila diasak pelbagai soalan oleh pemberita.

Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, 1.

Ude kemudian berkahwin dengan Izreen Azminda yang merupakan janda anak satu pada 8 Ogos tahun lalu di sebuah lokasi yang dirahsiakan di Damansara.

Pelakon itu juga pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin pada 2012 namun bercerai pada 2014. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.