Jumlah nafkah tersebut antaranya merangkumi perbelanjaan ha­rian rumah tangga dan pakaian penyanyi tersebut sejak awal perkahwinan sehingga sebelum penceraian berlaku. Permohonan tuntutan nafkah tertunggak itu difailkan mengikut Seksyen 69 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 pada bulan lalu.

Terdahulu, peguam syarie, Halimatunsa’diah Abu Ahmad yang mewakili Deja atau nama Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, memaklumkan mahkamah berhubung permohonan mereka dan masih menunggu maklum balas daripada ahli perniagaan, Azfendy Azzuddin Ahmad sama ada terdapat usaha untuk menyelesaikan tuntutan tersebut secara baik.

Peguam syarie, Ahmad Daud yang mewakili Azfendy, 39, selaku defendan memaklumkan pihaknya tidak mempunyai sebarang cadangan bagi menyelesaikan perkara tersebut dan memohon masa untuk memfailkan pembelaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohamed Fouzi Mokhtar menetapkan 27 Disember ini untuk defendan memfailkan pembelaan terhadap permohonan itu. Mahkamah turut membenarkan permohonan kedua-dua peguam syarie itu agar anak-anak guam mereka dikecualikan kehadirannya pada sebutan akan datang.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Mereka sah bercerai dengan talak satu pada 24 September lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini memutuskan tiada apa lagi yang mendamaikan dalam perkahwinan pasangan terbabit dan telah wujud shiqaq (perbalahan berpanjangan) dalam kalangan mereka selepas meneliti laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP). - UTUSAN ONLINE