Kedua-dua suspek lelaki yang berusia 38 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Melaka pada pukul 4.52 petang semalam selepas hadir untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM, pensyarah berkenaan dipercayai bersubahat dengan kontraktor terbabit untuk membuat tuntutan palsu pembekalan barangan keperluan latihan pasukan ragbi dan kerja-kerja pembekalan lain sepanjang tempoh 2014 hingga tahun lalu bernilai keseluruhan RM204,344.21.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Mohd. Firdaus Saleh pagi ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka kira-kira pukul 9.30 pagi diiringi pegawai penguat kuasa SPRM. - UTUSAN ONLINE