Mohd. Sabri Abdullah, 34, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja mencederakan Mt. Tajudin Ali, 67 dengan menumbuk di bahagian kepala kanan mangsa sehingga bengkak di No. 4, Wisma Akademi, Jalan 19/1 di sini kira-kira pukul 7.10 petang, 23 Mac 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda yang tinggi.

Majistret Nurulhuda Zakariya memerintahkan Mohd. Sabri menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapnya pada 22 Julai 2018.

Mengikut fakta kes, mangsa yang merupakan rakan sekerja tertuduh telah menegurnya mengenai peraturan membenarkan kenderaan keluar masuk dari kawasan tempat letak kereta tersebut.

Tertuduh yang tidak berpuas hati kerana ditegur terus mencekak kolar baju dan menumbuk bahagian kanan kepala mangsa. - UTUSAN ONLINE