Baginda bertitah, walaupun tidak dapat disangkal, pendapat sebulat suara amat bernilai, namun adalah kritikal untuk hakim-hakim memberi pendapat yang bertentangan jika perlu.

“Ada kalangan hakim mungkin berpegang teguh pada sabitan di sisi undang-undang dan moral, namun gagal memberi pertimbangan sewajarnya berhubung kebimbangan mereka dalam penghakiman mereka dan mereka mungkin kekal membisu apabila tidak bersetuju dengan penghakiman hakim lain, bimbang bahawa komen mereka mungkin dike­tepikan, atau mungkin tersalah anggap bahawa apa yang mungkin mereka ingin katakan adalah tidak penting,” titah baginda.

Baginda bertitah semasa pelancaran buku bertajuk Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries di sebuah hotel di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, bagai­manapun panel hakim dan proses membuat keputusan badan kehakiman boleh dengan mudah mengendalikan sebarang pendapat yang berbeza bagi mana-mana isu.

“Kadang-kadang suara bertentangan yang berani diterjemahkan menjadi undang-undang. Satu kes klasik adalah Brown lwn Lembaga Pendidikan 347 US 483 (1954) apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat memberi perhatian terhadap suara Hakim Harlan yang memberikan pendapat bertentangan dalam kes Plessy lwn Ferguson 163 U.S. 537 (1896).

“Hasilnya, dalam penghakiman bersejarah itu, Ketua Hakim Negara Warren pada ketika itu memutuskan bahawa pemisahan kaum di sekolah awam adalah pencabulan terhadap perlembagaan Amerika Syarikat yang menjamin hak sama rata,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, hakim perlu bebas untuk memberi alasan dalam penghakiman yang mereka fikir sesuai iaitu pendek kata untuk Kedaulatan Undang-Undang terus subur, mahkamah dan peserta mereka perlu dibenarkan untuk menyuarakan pelbagai idea dan prinsip.

Baginda bertitah, penghakiman yang dibuat hakim sebenar­nya yang menentukan keputusan yang dibuat mereka.

“Setiap hakim perlu diberikan peluang untuk mengambil bahagian sepenuhnya, malah walaupun keputusan majoriti yang menentukan keputusannya. Kebebasan badan kehakiman sebenarnya, membantu dalam menjamin Kedaulatan Undang-Undang didukung sepenuhnya.

“Pematuhan terhadap Kedau­latan Undang-Undang perlu menjadi teras dan pegangan semua hakim dalam menghakimi semua perkara di hadapan mereka - tidak kira isu apa pun, tidak kira kepen­tingan siapa yang mereka perlu buat keputusan. Ini bagi memastikan bahawa keadilan sentiasa terpelihara,” titah baginda. – BERNAMA