Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) Normah Mohd. Dali berkata, golongan muda mungkin beranggapan pergerakan mereka akan terbatas dengan pelaksanaan perintah tersebut dan dikhuatiri akan memberontak.

"Nawaitunya sangat bagus, namun bagi saya istilahnya dilihat kurang sesuai.

"Jadi Kerajaan Pas Kelantan perlu mencari istilah yang lebih baik menggantikan perintah berkurung jika mahu meneruskan cadangan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Kerajaan Pas Kelantan yang menimbang untuk menguatkuasakan perintah berkurung ke atas remaja bagi mengurangkan masalah sosial di negeri ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Kompleks Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) Kajang Sebidang, di sini.

Utusan Malaysia 31 Oktober lalu melaporkan, Kerajaan Pas Kelantan sedia menimbang pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini. - UTUSAN ONLINE