Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Loke Kam Chwee, 62, selepas mengaku bersalah apabila pertuduhan yang dibacakan di hadapannya oleh jurubahasa mahkamah.

Kam Chwee yang bekerja di sebuah restoran di Batu Caves didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM100 kepada penjawat awam iaitu anggota polis sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memandu kenderaan cukai tamat tempoh.

Dia didakwa melakukan kesalahan di Jalan SBC 3, Batu Caves dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang Rabu lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rozilah turut mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) iaitu Koperal Muhammad Naqiuddin Ismail dan Koperal Khairul Naim Jaafar membuat rondaan dan menahan Kam Chwee yang memandu kereta jenis Proton Saga Aeroback.

Namun tertuduh memberi rasuah RM100 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.-UTUSAN ONLINE