MOTIS JUWEL
MOTIS JUWEL

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Motis Juwel, 56, yang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik stor di sebuah sekolah rendah di Bau di sini antara Mei 2016 dan 15 Mac lalu.

Tertuduh yang juga merupakan bekas tentera menghadapi empat pertuduhan me­rogol mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap rakan lelaki mangsa terbabit di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah meme­rintahkan Motis dihukum penjara 15 tahun dan sebatan tiga kali bagi setiap pertuduhan rogol serta hukuman penjara 10 tahun dan sebatan tiga kali bagi setiap kesalahan melakukan amang seksual.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam diperintahkan menjalani hukuman tersebut secara berasing­an berkuat kuasa hari ini.

Mengikut fakta kes dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash, tertuduh di­dakwa pertama kali merogol remaja pe­rempuan itu di sebuah bilik stor di sekolah tersebut pada Mei 2016 dan mengulangi perbuatan itu beberapa kali setelah me­ngajak mangsa bersama seorang rakan lelakinya masuk ke tempat sama pada tahun ini.

Perbuatan sumbang itu terbongkar apabila remaja perem­puan itu mendedahkan apa yang berlaku terhadapnya kepada se­orang tukang cuci di sekolah ber­kenaan yang berasa hairan lalu bertanya kepadanya kenapa mang­sa bersama rakannya kerap dilihat keluar dari bilik stor tersebut.

Sebaik sahaja mengetahui apa yang berlaku, tukang cuci terbabit segera memaklumkan perkara itu kepada guru pentadbiran sekolah yang kemudian membuat laporan polis menyebabkan tertuduh ditangkap pada 16 Mac lalu.

Difahamkan, tertuduh yang berasal dari kampung sama de­ngan dua murid terbabit mengambil kesempatan merogol mangsa yang kebetulan menumpang ke­retanya untuk datang ke sekolah pada setiap hari.