Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian terhadap Mohd. Hady Ya’akop selepas menolak rayuan akhir Kerajaan Malaysia dan enam pihak lagi.

Keputusan itu menjadi nas undang-undang (landmark decision) selepas mahkamah tertinggi negara memutuskan isu perlembagaan bahawa ganti rugi boleh diberikan bagi penahanan salah di bawah perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau yang bersidang bersama Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha juga memerintahkan perayu-perayu membayar kos RM30,000.

Selain Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Melaka dan lima anggotanya terdiri daripada Hassan Marsom, Leong Mun Choon, R. Mannimannen, Jay January Siowou dan Muhammad Adnan Abdullah turut dinamakan sebagai perayu-perayu.

Hakim Balia ketika membacakan keputusan itu menyatakan, sebagai `penjaga keadilan’, mahkamah berpuas hati untuk `campur tangan’ dan memutuskan penahanan terhadap Mohd. Hady tidak sah dan berlaku serangan ketika dia disoal siasat.

Ujar beliau, pihak polis tidak boleh dibenarkan untuk menyalah guna kuasa, bertindak ganas terhadap tahanan ketika soal siasat atau mengambil ringan terhadap proses reman sebagai satu formaliti.

Kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 November 2014 bahawa penahanan Mohd. Hady secara maksimum selama dua minggu bermula pada 22 November 2008 hingga 5 Disember 2008, adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Mahkamah tertinggi negara memberi ganti rugi RM50,000 bagi penahanan salah dan RM100,000 untuk ganti rugi teladan. Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Melaka yang memberikan ganti rugi RM160,000 bagi kecederaan yang dialaminya.

Latar belakang kes menyatakan, Mohd. Hady menemani rakannya, Abdul Manan Hassan ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, Bukit Beruang bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan anggota polis di hadapan sebuah restoran berhampiran MITC.

Bagaimanapun, dia turut dipanggil memberi keterangan dan dipukul dalam sesi soal siasat yang bermula pukul 4.45 pagi, 22 November 2008 walaupun menafikan terlibat dalam pergaduhan tersebut. Kedua-duanya kemudian menerima rawatan di sebuah hospital.

Mohd. Hady diwakili oleh peguam J. Amardas manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan manakala Salim Bashir bertindak sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) bagi pihak Majlis Peguam.