Majistret Maizatul Munirah Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah K. Pirem Kumar, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa dilakukan di depan restoran The Coffee Bean & The Leaf di NU Sentral di sini kira-kira pukul 4.45 petang, 2 November lalu.

Mengikut pertuduhan, Pirem Kumar didakwa melakukan kekerasan jenayah itu dengan merampas telefon pintar jenis Oppo A77 berwarna putih milik H. Gurpreet Kaur, 20.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa bersama teman lelakinya sedang duduk di depan restoran berkenaan dengan tiba-tiba datang Pirem Kumar telah merentap telefon pintar wanita itu.

Terdahulu, Pirem Kumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan dia perlu menjaga ibunya yang sakit dan telah insaf atas perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira faktor keselamatan awam berikutan tertuduh telah melakukan kesalahan di tempat terbuka yang boleh mengancam keselamatan orang awam. - UTUSAN ONLINE