Majistret Siti Nabilah Abdul Rashid mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap mereka bermula hari ini hingga 10 Februari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka yang ditahan itu antaranya timbalan pengurus besar berumur 44 tahun, pengarah projek, 55, dan pembantu peribadi wanita kepada timbalan pengurus besar terbabit, 34.

Mereka bertiga ditahan di SPRM Johor semalam.

Empat lagi individu yang direman difahamkan adalah kontraktor, dipercayai dapat membantu siasatan kes yang berlaku antara tahun 2013 dan 2017.

Keempat-empat individu itu masing-masing ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam di SPRM Shah Alam, Klang dan Melaka.

Laporan media menyebut kedua-dua pegawai kanan itu ditahan untuk membantu siasatan penyalahgunaan kuasa meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor terlibat dengan kerja penyelenggaraan landskap syarikat itu. - BERNAMA