Menurut kenyataannya, syarikat mengetahui berkenaan penahanan dua pegawainya iaitu Timbalan Pengurus Besar dan Pengarah Projek Selatan 1 serta pembantu peribadi kepada Timbalan Pengurus Besar terbabit.

“Sebagai sebuah syarikat yang mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah, kami telah memberikan dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman tiga pekerja syarikat GLC itu bersama empat individu lain selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan bayaran penuh daripada tuntutan bulanan bagi kerja-kerja penyelenggaraan landskap UEM Sunrise antara tahun 2013 dan 2017.

Perintah reman mulai hari ini sehingga 10 Februari ini dikeluar­kan oleh Majistret Siti Nabilah Abd. Rashid mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Timbalan Pengurus Besar syarikat UEM Sunrise berusia 44 tahun, Pengarah Projek Selatan 1 berusia 55 tahun dan pembantu peribadi Timbalan Pengurus Besar itu yang merupakan seorang wanita berumur 34 tahun, masing-masing ditahan antara pukul 3 petang dan 4 petang di SPRM Johor semalam.

Empat individu lain yang kesemuanya lelaki masing-masing ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam di Ibu pejabat SPRM di Shah Alam, Klang dan Melaka.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Siasatan awal SPRM mendapati, Timbalan Pengurus Besar dan Pengarah Projek Selatan 1 tersebut secara langsung terlibat memastikan kontrak landskap bawah seliaan mereka dianuge­rahkan kepada lapan buah syarikat melalui tiga peringkat iaitu E-Bidding, One Off Contract dan Maintainance yang berjumlah kira-kira RM44 juta.

Difahamkan, Timbalan Pengurus Besar tersebut akan mengarahkan Eksekutif UEM Sunrise untuk memberi markah sebanyak 80 peratus kepada syarikat kontraktor yang bertanggungjawab atas kerja-kerja penyelenggaraan landskap supaya mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan yang dikemukakan.

Maklumat awal yang diperoleh oleh pasukan penyiasat mendapati wujud bayaran mencurigakan berjumlah melebihi RM2.4 juta telah dimasukkan ke akaun bank milik timbalan pengurus syarikat dan isterinya daripada lapan buah syarikat kontraktor berkenaan melalui empat orang proksi yang turut ditahan pada hari yang sama.

Pasukan penyiasat juga telah menyita 15 akaun milik Timbalan Pengurus Besar tersebut dan syarikat kontraktor bagi membantu siasatan.