Dr. Mohamed Ahsan Mohamed Ismail, 37, yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah di Unit Penguat Kuasa cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) ketika kejadian itu berlaku berkata, penubuhan pasukan siasatan itu dilaksanakan selepas dimaklumkan oleh Ketua Unit Aduan CKAPS, Dr. Siti Zurina Abd. Samah tentang kejadian pada 1 Jun tahun lalu.

“Kira-kira pukul 9.30 pagi saya dimaklumkan dan menerima arahan daripada pihak atasan bahawa kami perlu menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kematian yang berlaku di Pusat Pakar Pergigian Imperial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ketiga dalam perbicaraan kes pusat pakar pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn. Bhd. yang menghadapi sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain semasa mendapatkan rawatan gigi.

Mohamed Ahsan berkata, beliau dimaklumkan pasukan siasatan tersebut akan dibantu oleh 13 anggota iaitu lima dari CKAPS, tujuh dari Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) Wilayah Persekutuan serta seorang pakar bedah pergigian dari Hospital Sungai Buloh.

“Pasukan siasatan itu dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C mengikut peranan masing-masing dan saya mengetuai kumpulan A.

“Kumpulan A ditugaskan untuk menjalankan sesi temu ramah dan memeriksa dokumen bersama kakitangan yang terlibat, kumpulan B pula memeriksa peralatan dan ubatan kecemasan yang digunakan bagi tujuan rawatan pesakit manakala kumpulan C menyemak status premis dari segi pelan lantai yang dikemukakan semasa permohonan lesen,” katanya.

Menurutnya, semasa beliau dan pasukannya mengunjungi premis berkenaan, mereka telah diperkenalkan oleh Pengarah syarikat itu, Dr. Wong Yen Ling yang juga dikenali sebagai Datin Dr. Alice Wong sementara menunggu seorang lagi pengarah, Datuk Dr. How Kim Chuan.